Surat Terbuka Kepada PM & Peguam Negara

Assalamualaikum wbt

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,

Yang Arif Tan Sri Mohamed Apandi Ali,

Pertamanya saya selaku rakyat marhaen ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada peguam negara atas kepantasan dalam menangani kes berprofil tinggi melibatkan perdana menteri.

Ia adalah susulan siasatan pihak peguam negara yang akhirnya mengarahkan 3 kertas siasatan yang mempunyai pertuduhan melibatkan perdana menteri ditutup oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Datuk Seri,

Selepas keputusan yang dibuat peguam negara, kami hamba rakyat juga diberi “amaran” oleh ahli Parlimen kerajaan kononnya bertujuan menakutkan rakyat supaya tidak mempertikai keputusan peguam negara menurut perkara 145(3) di mana peguam negara mempunyai kuasa menurut budinya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

Apakah kerajaan hari ini mahu memberitahu kami hamba rakyat yang kemutlakan kuasa diberikan tidak akan ada pencemaran atau gangguan daripada pihak luar atau secara lebih jelas dalam kes ini tiada kepentingan antara peguam negara dan perdana menteri yang mampu mengganggu siasatan?

Melalui portal berita BBC NEWS, 91% daripada jumlah derma untuk membantu kempen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dipulangkan selepas 4 atau 5 bulan wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri pada 2013.

Wang derma tersebut dimaklumkan datangnya daripada sumbangan keluarga diraja Arab Saudi atas alasan yang berbagai-bagai.

Maka kami rakyat di bawah memohon agar pihak peguam negara dan perdana menteri agar meleraikan beberapa persoalan yang bermain dalam benak fikir kami selaku rakyat yang bertanggungjawab mengangkat Datuk Seri sebagai peneraju negara ini.

Di atas dasar kepentingan awam dan generasi mendatang, ada keperluan bagi pihak Datuk Seri merungkai beberapa persoalan yang disertakan dengan bukti jelas yang mampu menyokong mengapa skandal ini perlu dilupakan rakyat.

1. Wang yang dimasukkan melalui Bank Switzerland berpangkalan di Singapura dimasukkan secara berperingkat-peringkat, maka sudah tentu ada bukti transaksi yang boleh ditunjukkan. Seharusnya masyarakat awam ditunjukkan siapakah penderma atau pendeposit sebenar wang sebanyak itu.

2. 91% wang tersebut dipulangkan kembali selepas beberapa bulan ia diterima, dan ia berlaku pada 2013. Mengapa bekas peguam negara sebelum ini (Tan Sri Abdul Gani Patail) tidak dimaklumkan tentang pemulangan yang berlaku 2 tahun lalu?

3. Apakah status undang-undang baki RM600 juta daripada jumlah didermakan keluarga diraja Arab Saudi? Jika ia derma, kenapa ia bukan kesalahan sedangkan derma ditafsirkan suapan menurut Akta SPRM?

4. Mengapa kes ini tidak dibicarakan jika terdapat bukti yang kukuh atas tujuan membersihkan bukan sekadar nama dan maruah perdana menteri malah kami selaku rakyat dan negara Malaysia? Peguam negara bertindak sebagai hakim di dalam siasatan ini sedangkan perdana menteri sewajarnya menjawab pertuduhan di mahkamah bagi membersihkan nama sendiri.

5. Adakah tiada rasa bersalah menggunakan wang rakyat melalui kemasukan RM42 juta daripada SRC International? Adakah logik mempercaya jumlah tersebut adalah derma sedangkan Datuk Seri yang mempunyai kawalan khusus ke atas akaun tersebut? Kenapakah sanggup berbelanja sehingga RM3 juta ke atas kad kredit akaun tersebut sedangkan rakyat hidup kelaparan?

Datuk Seri,

Penutupan kes ini akan hanya meneruskan krisis kepercayaan rakyat kepada institusi perundangan negara dan pentadbiran Datuk Seri. Kami rakyat ada keperluan untuk mendapatkan akses maklumat dengan apa yang berlaku secara telus kerana ini negara kita bersama dan bukan hak mutlak individu.

Sekian, terima kasih.

Muhammad Syafiq Azmi
Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments:

Post a Comment