PORTFOLIO KESIHATAN TIDAK PENTING BAGI SABAH??


Pewujudan jawatan menteri kesihatan untuk Sabah seperti yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah sebelum ini adalah tidak perlu kerana langkah itu hanya akan menyebabkan pertindihan tugas, kata Presiden Parti Maju Sabah Datuk Yong Teck Lee.

Katanya selama ini isu kesihatan awam merupakan tanggungjawab Kementerian Kerajaan Tempatan Sabah menerusi Ordinan Kesihatan Awam 1960 dan Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 yang memberinya kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang termasuk mendenda pesalah dalam mengekang penularan penyakit berjangkit. 

Pelantikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah Datuk Masidi Manjun sebagai jurucakap rasmi kerajaan berhubung COVID-19 juga tepat kerana beliau menerajui kementerian yang bertanggungjawab terhadap isu itu, kata Yong dalam kenyataan hari ini. 

“Tidak perlu ada ‘menteri kesihatan negeri’ seperti menteri kesihatan peringkat persekutuan yang bertanggungjawab ke atas perkhidmatan perubatan dan hospital serta lain-lain. Menteri kesihatan Sabah tidak ada klinik, hospital, doktor atau staf perubatan untuk diurus tadbir.

“Sebab itulah semasa gelombang pertama COVID-19 bagi tempoh Mac hingga Jun lepas menteri kesihatan di bawah kerajaan pimpinan Warisan-DAP ‘tidak dapat dikesan’,” katanya merujuk kepada bekas Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Frankie Poon.

Rabu lepas, Poon yang juga Pengerusi DAP Sabah dilaporkan berkata kerajaan baharu pimpinan Gabungan Rakyat Sabah harus segera melantik seorang menteri bagi menjaga hal ehwal berkaitan kesihatan susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 di negeri itu.    

Mengulas lanjut, Yong berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah telah ditubuhkan pada 1 Okt lalu, dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong serta diwakili jabatan kesihatan terlibat termasuk daripada persekutuan.

-- BERNAMA

Share on Google Plus

About MSTC SDN BHD

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments:

Post a Comment