POLIS PERLU BERTINDAK TEGAS KE ATAS GEROMBOLAN BAJU MERAH
Tindakan ganas gerombolan Baju Merah ke atas konvoi BERSIH 5.0 di beberapa lokasi di seluruh negara baru-baru ini adalah insiden dan tragedi yang amat malang yang menimpa negara.
Tindakan samseng Baju Merah di Sabak Bernam yang diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos seperti menghalang trafik, membaling telur dan menendang peserta BERSIH sehingga menyebabkan mangsa terbaring di jalanraya adalah diantara aksi melampau gerombolan Baju Merah yang dilihat melanggar tatasusila, hak malah melanggar undang-undang dengan gangguan untuk menakutkan penyokong BERSIH 5
Jikalah peserta konvoi BERSIH 5 yang melakukan kekecohan, sudah pasti Ketua Polis Negara akan segera memberi arahan supaya mereka menyerah diri atau memburu mereka dalam tempoh 24 jam.
Kita berharap agar pihak polis dapat bertindak tegas dan menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka secara adil, professional dan tanpa pilih-kasih.
Keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan tetapi perlu dilihat telah ditegakkan. Bagaimanakan keadilan dilihat ditegakkan oleh pihak berkuasa keselamatan apabila gerombolan yang berlagak samseng itu dibiarkan sahaja tanpa sebarang tindakan?
Semua rakyat Malaysia berharap demi menjaga keharmonian negara, tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil terhadap individu yang melakukan perbuatan-perbuatan yang mengancam keselamatan tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik.
Mereka yang melakukan kesalahan wajar ditangkap dan dibicarakan di mahkamah untuk dihukum sewajarnya.
Perhimpunan Bersih hendaklah dihormati kerana ia adalah hak Perlembagaan di bawah Perkara 10 selaras dengan amalan demokrasi dalam negara ini.
Negara akan menjadi porak-peranda dan hancur binasa apabila ada pihak dibenarkan meletakkan undang-undang di dalam tangannya dengan bertindak ganas seperti yang dilakukan oleh gerombolan baju merah tersebut.
ZULKIPLY BIN HARUN
Pengarah Komunikasi
Parti Amanah Negara Negeri Melaka
VIDEO BERKAITAN
0 comments:
Post a Comment