AMANAH Melaka Siap Sedia Bantu Kempen PH Di Sg Besar & K Kangsar


Parti Amanah Negara Negeri Melaka telah bersiap sedia untuk membantu calon-calon Pakatan Harapan di pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Demikian dinyatakan oleh Naib Pengerusi AMANAH Melaka, Sdra Sofi Wahab di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang tadi.

Beliau menaruh keyakinan bahawa pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan bersetuju untuk menghantar calon bagi menyertai Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar Jun ini.

Malah menurutnya, beliau juga yakin bahawa calon yang mewakili PH nanti adalah dari Parti AMANAH Negara kerana kedua-dua kerusi tersebut adalah kerusi majoriti pengundi Islam dan AMANAH adalah pilihan tepat sesuai dengan sifatnya sebagai Parti Islam.

"Saya menyifatkan penyertaan Pas di dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar bukanlah satu kekangan untuk Pakatan Harapan kerana mereka tidak mendokong semangat pakatan pembangkang yang menjadi harapan rakyat. PAS juga tiada kaitan dengan PH," ujarnya.

"Oleh yang demikian, saya dan kawan-kawan dalam AMANAH Melaka telah membuat persediaan sejak awal lagi untuk menghadapi sebarang kemungkinan bagi menggerakkan jentera di setiap peringkat untuk bertugas di kedua-dua Parlimen tersebut. Ini telah dibuktikan pada Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini di mana jentera AMANAH Melaka telah turun membantu calon-calon AMANAH di Sarawak. Jentera AMANAH di semua peringkat telah bersedia dan hanya menunggu semboyan untuk menggempur PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar," tambahnya lagi.

Sofi, yang juga Pengarah Komunikasi & Media Amanah Melaka menyatakan Pakatan Harapan diwujudkan atas dasar kesedaran pentingnya sistem dwi parti melalui satu kesepakatan ampuh dalam menghadapi kekuasaan BN di negara ini. Keujudan pakatan atau blok lain adalah tidak relevan dan mereka bila-bila masa dipelawa untuk bekerjasama dengan PH.

Kesempatan PRK, katanya, mesti diguna sepenuhnya oleh PH bagi menerangkan kepada rakyat betapa penting menolak Kerajaan BN yang bukan sahajaa gagal memerintah negara malah semakin hari semakin menindas rakyat.

PRK ini mesti dijadikan medan untuk memberi kesedaran kepada rakyat bahawa sistem dua parti adalah penting di mana ia boleh menjadi penyelesai kepada masalah rakyat. Jika rakyat memilih PH sudah tentu BN akan membuka mata dan berusaha untuk memperbaiki sistem pemerintahan mereka yang menyusahkan rakyat.

PRK ini juga menjadi medan bagi pimpinan PAS agar sedar bahawa tidak ada gunanya mereka besar kepala dan ingin duduk sendirian kerana ianya merugikan masa depan rakyat dan parti itu sendiri.

Kekosongan kerusi Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar masing-masing berikutan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya dalam mesyuarat khas semalam memutuskan PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar diadakan serentak dengan hari penamaan calon pada 5 Jun, pengundian awal 14 Jun dan hari mengundi pada 18 Jun.
Share on Google Plus

About Green Boc

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments:

Post a Comment