Kemenangan AMANAH Di Beting Maro Amat Penting


Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Melaka terus menghantar petugas ke Sarawak bagi membantu kempen calon AMANAH di dalam PRN Sarawak 2016.

Semalam Kumpulan 9 dari AMANAH Melaka yang melibatkan 15 petugas diketuai oleh Naib Presiden AMANAH Melaka, Sofi Wahab telah tiba di Sibu bagi menggantikan Kumpulan 8 yang dipimpin oleh Sdra Zairi Suboh yang telah berkhidmat cemerlang di DUN N29 Beting Maro membantu berkempen untuk calon AMANAH, Hud Andri Zulkarnaen.

AMANAH berpendapat bahawa kemenangan Hud Andri Zulkarnaen di DUN N29 Beting Maro di dalam PRN Sarawak tahun ini merupakan sesuatu yang amat penting.

Pertamanya ialah untuk penduduk Beting Maro khususnya dan Sarawak amnya dimana kemenangan Hud Andri adalah kritikal bagi mempastikan nasib penduduk dan rakyat terbela.

Pelbagai masalah rakyat Beting Maro perlu diketengahkan dimana Beting Maro kini tercicir di dalam arus pembangunan seperti masalah bekalan air bersih, kemudahan prasarana. isu hak milik tanah, masalah perumahan rakyat dan sebagainya.

Kegagalan BN menunaikan janjinya setiap kali musim pilihanraya menyebabkan penduduk Beting Maro terus tercicir dan tiada pilihan lain bagi mereka kecuali menukarkan wakil rakyat kepada seorang yang benar-benar merasai denyut nadi penduduk Beting Maro.

Kedua, kemenangan AMANAH di Beting Maro juga adalah penting untuk parti AMANAH sendiri kerana inilah kali pertama AMANAH menyertai pilihanraya mewakili Pakatan Harapan.

Kemenangan AMANAH adalah kayu ukur untuk menilai penerimaaan rakyat terhadap parti yang baru berusia 6 bulan ini. Kemenangannya nanti adalah motivasi penting untuk ahli-ahli AMANAH seluruh negara untuk terus menggiatkan usaha bagi mempastikan AMANAH akan memperolehi kemenangan di dalam pilihanraya umum ke 14 nanti.

Ketiga kemenangan AMANAH di Beting Maro juga penting bagi petugas AMANAH Melaka yang pertama kali diberikan tanggungjawab untuk membantu kempen pilihanraya.

AMANAH Melaka merasakan perlu untuk calon AMANAH di Beting Maro dimenangkan agar segala penat lelah hampir 100 orang petugas yang dibahagikan kepada 9 kumpulan yang terbang ke Sarawak yang dibiayai oleh sumbangan dari orangramai tidak menjadi sia-sia.

Ia adalah untuk menunaikan harapan dan hasrat rakyat yang menyumbang, ia adalah untuk membalas segala penat lelah para petugas yang sanggup meninggalkan kampung halaman, anak isteri dan rakan handai.

Justeru itulah mengapa kemenangan AMANAH di Beting Maro adalah penting untuk semua pihak.





Share on Google Plus

About Green Boc

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments:

Post a Comment