AMANAH & KEADILAN Melaka Selar Cadangan BN Tambah Kerusi DUN


Amanah Melaka menyifatkan cadangan BN negeri itu utuk menambah beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) sebagai satu taktik jahat dan membelakangkan aspirasi rakyat.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, rakyat secara terbuka mahu kerajaan dan sistem yang sedia ada diubah kepada keadaan lebih baik bukannya kerusi Dun yang baharu.

“Langkah tersebut bukanlah mahu merakyatkan demokrasi berparlimen, tetapi lebih kepada mahu menjaga survival politik Umno dan Barisan Nasional,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat kajian mengikut prinsip-prinsip yang telah digariskan dalam Seksyen 2 Bahagian 1 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan bagi menyediakan draf cadangan sempadan bahagian pilihanraya yang baharu.

“Ini supaya pihak SPR tidak dilihat bersekongkol dalam mengekalkan pemerintahan kerajaan BN khususnya dalam isu yang dibangkitkan Datuk Seri Idris Haron yang juga merupakan Pengerusi Umno Melaka,” jelasnya.

Mengulas lanjut cadangan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron sebelum ini untuk menambah kerusi Dun itu, beliau berkata keadaan yang sekaligus melibatkan perpindahan pengundi itu dilihat sebagai tindakan terdesak Umno di bawah pimpinan berkenaan.

“Amanah dan Pakatan Harapan yakin bahawasanya tindakan ini adalah respon terhadap manifestasi penolakan rakyat terbanyak terhadap BN yang kini terpalit dengan kegagalan tadbir urus yang baik.

“Ia juga kegagalan bagi sesebuah kerajaan terhadap rakyat yang bernaung di bawahnya. Perlu juga diingat, SPR bukanlah perkakas untuk Umno mengekalkan kuasa dan memanjangkan hayat politik Barisan Nasional,” ujar Adly lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga Pengerusi KEADILAN Negeri Melaka meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi penjelasan mengenai persempadan semula di kawasannya yang boleh menyebabkan kekalahan beliau pada pilihan raya umum akan datang, lapor malaysiakini.

Ini berikutan cadangan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron bagi menambah dua kerusi DUN di kawasan parlimen yang dimenangi anggota parlimen PKR itu.

"Sewaktu ratusan ribu rakyat Malaysia turun ke jalanan dalam siri perhimpunan BERSIH, Umno mendakwa mereka tidak pernah memperalatkan jentera demokrasi termasuk SPR.

"Namun kini, setelah tembelang terbongkar satu persatu, tanpa malu Idris menunjukkan belang sebenar beliau dan pimpinan Umno.

"Saya ingin mencabar Pengerusi SPR untuk menyatakan pendirian mengenai pengumuman ini," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Idris ketika menghadiri Mesyuarat Perwakilan Umno Tangga Batu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencadangkan dua kerusi DUN tambahan untuk kerusi parlimen Bukit Katil.

Ini katanya, akan membantu kemenangan BN dengan meningkatkan populasi pengundi Melayu daripada 53 peratus kepada 67.5 peratus.

Beliau juga mencadangkan perubahan yang sama untuk kerusi parlimen Kota Melaka.

"Adakah pengumuman ini dibuat setelah beliau mendapat "kebenaran" daripada SPR ? Sekiranya ini benar, ia merupakan pencabulan demokrasi yang rakus demi memuaskan serakah politik Umno-BN yang gagal menerima hakikat pengundi di Bukit Katil telah menolak mereka," katanya.

Shamsul juga memberi amaran Idris tidak menggunakan SPR sebagai talian hayat Umno di Melaka.

"Jangan jadi ketua yang bacul. Masuk ke gelanggang secara adil," katanya.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments:

Post a Comment