KPPHM: Selamatkan Malaysia, Turunkan Najib!


KENYATAAN MEDIA KPPHM

1) Umum mengetahui bahawa kepincangan yang berlaku di dalam sistem politik, ekonomi dan sosial di dalam negara adalah hasil dari kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dengan pelbagai skandal seperti 1MDB, Isu derma RM2.6 bilion, pelaburan dalam perlombongan arang batu di Mongolia yang mencurigakan dan lain-lain skandal.

2) Pemecatan Peguam Negara, pemindahan dan penangkapan beberapa pegawai SPRM, penggantian ahli-ahli PAC sehinggalah kepada penyingkiran Datuk Seri Muhyidin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO yang sebelum ini berani tampil untuk mengkritik Najib adalah bukti nyata Najib kini begitu terdesak untuk melakukan apa sahaja demi mempertahankan kuasanya.


3) Rasuah semakin menjadi-jadi dengan berteraskan prinsip Najib "I help U, U help me" menyebabkan lahir begitu ramai para menteri dan pegawai kerajaan yang sanggup menjadi pengampu, pembodek dan pak turut . Rasuah dan ketirisan wang negara seakan tidak terbendung lagi.

4) Dibawah kepimpinan Najib juga, dunia sinis terhadap Malaysia, media dan akhbar luar negara melabelkan Malaysia “The Most Corrupt Country In The World”.

5) Rakyat semakin tertekan dan menderita. Dasar-dasar kerajaan yang dirangka lebih bermotifkan kepada pengekalan kuasa kerajaan UMNO BN dan bukan bertujuan untuk mensejahterakan rakyat. Peruntukan sektor penting kehidupan rakyat dipotong di pelbagai kementerian, tetapi peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri dinaikkan sebanyak RM1.1 bilion adalah langkah keterlaluan.

Justeru itu, Kelab Penyokong Pakatan Harapan Malaysia (KPPHM) menyokong segala usaha bagi tujuan menyelamatkan Malaysia daripada terus terjebak dalam pelbagai masalah dan kepincangan sehingga menyebabkan negara menjadi rosak binasa lantarannya.

KPPHM menyokong dan akan bersama dengan mana-mana gerakan yang menolak rasuah dan salah guna kuasa.

KPPHM juga menyokong supaya Najib dan BN ditukarkan agar rakyat dapat melaksanakan agenda reformasi dalam ekonomi, politik dan sosial di negara ini. KPPHM mahu menggunakan saluran demokrasi supaya Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

KPPHM berpendapat selagi Najib menjadi PM, negara akan terus menjadi lebih rosak dan ianya perlu dihentikan segera.

Justeru, KPPHM menyokong penuh kenyataan media Presiden Parti Amanah Negara dan juga kenyataan media Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini yang menyeru semua pihak tanpa mengira fahaman politik kepartian di dalam usaha SELAMATKAN MALAYSIA.


Greenboc
Timbalan Presiden
Kelab Penyokong Pakatan Harapan Malaysia
merangkap
Pengerusi Biro Pulisiti dan Komunikasi KPPHM

1 Mac 2016


KENYATAAN MEDIA
AMANAH SEDIA BERSAMA SEMUA PIHAK DALAM MISI SELAMATKAN MALAYSIA

1. Suasana negara hari ini menuntut semua pihak bertangungjawab melakukan yang terbaik untuk memulihkan maruah negara setelah Perdana Menteri culas melaksanakan tanggungjawabnya. Kegagalan Institusi Pejabat Peguam Negara mempertahan kepentingan rakyat menangani secara tuntas dalam skandal 1MDB, derma RM2.6 bilion dan RM42 juta daripada SRC International, sangat mengaibkan negara. Krisis kepercayaan (trust deficit) terhadap kepimpinan dan kedaulatan negara sudah sampai kepada kemuncaknya.

2. Hari ini bekas Perdana Menteri seperti Tun Dr Mahathir Mohamed telah melahirkan rasa kesalnya ke atas apa yang berlaku dan menyeru kita semua meninggalkan kepentingan parti demi menyelamatkan negara daripada kepimpinan Perdana Menteri hari ini. Seruan Tun Mahathir selaku seorang tokoh perlu diambil serius oleh semua pihak walaupun gerakan massa menyelamatkan negara dari kepincangan kepimpinan negara sudahpun diaktifkan lebih awal oleh Gerakan Reformasi (1999-2008) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim (dipenjarakan 2 kali) yang kemudiannya disambung melalui wadah Pakatan Rakyat (2009-2014) dan terbaru Pakatan Harapan (2015 hingga kini).

3. Antara sebab utama DS Najib sukar untuk diganti adalah kerana UMNO masih mempertahankan kedudukan Perdana Menteri. Ketua-Ketua Bahagian UMNO terbelenggu daripada melihat kepentingan yang lebih besar kerana terperangkap dalam budaya politik wang dan hanya mementingkan tembolok sendiri.

4. AMANAH bersama dalam mana-mana gerakan yang menolak penyelewengan dan salah guna kuasa namun pada waktu yang sama AMANAH mendesak agar reformasi institusi negara secara menyeluruh dapat disegerakan dengan menukar kerajaan sedia ada secara demokratik.

5. Oleh itu, AMANAH dengan slogan HARAPAN BARU, bersedia melihat kepentingan gerakan SELAMATKAN MALAYSIA bagi membantu cita-cita perubahan dan reformasi yang telah digerakkan selama ini oleh PR dan PH serta masyarakat madani. Oleh itu, AMANAH akan bersama mana-mana gerakan rentas kepartian atas prinsip warganegara yang prihatin terhadap masa depan negara.

“Harapan Baru”

TN HJ MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara 1 MAC 2016



KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN

MUAFAKAT RAKYAT SELAMATKAN MALAYSIA

Pakatan Harapan menyifatkan pendirian Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa negara memerlukan reformasi institusi dan keputusan Tun Mahathir Mohamad keluar dari Umno sebagai perkembangan positif yang perlu dialu-alukan.

Kenyataan-kenyataan Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin setakat ini ada menunjukkan kecenderongan mereka menerima hakikat bahawa sistem kerajaan yang memusatkan kuasa di tangan Perdana Menteri adalah berbahaya. Pendirian itu secara umumnya mirip kepada dasar yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan selama ini yang menuntut reformasi institusi yang menyeluruh.

Pakatan Harapan menghormati suara rakyat yang mahukan kepentingan dan perbezaan politik diketepikan demi menyelamatkan negara. Pakatan Harapan juga mempertahankan kehendak rakyat supaya sebarang perubahan mestilah melibatkan reformasi institusi yang menyeluruh (termasuklah pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menjadi mangsa salahguna kuasa), bukannya setakat menukar Perdana Menteri tetapi mengekalkan sistem sedia ada.

Oleh yang demikian, Pakatan Harapan mengalu-alukan semua pihak untuk merangka kempen bersama yang akan digerakkan secara bersepadu melibatkan semua golongan dan kumpulan rakyat. Untuk tujuan itu, Pakatan Harapan akan memanggil satu sidang rundingan dengan semua pihak yang mahu turut serta dalam usaha menyelamatkan negara ini. Butir-butir sidang rundingan ini akan diumumkan selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 7 Mac 2016 di Bangunan Parlimen.

1 Mac 2016

YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN

YAB LIM GUAN ENG
Setiausaha Agung DAP

TUAN HAJI MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH


Share on Google Plus

About Green Boc

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

1 comments:

  1. SELAMTKAN MALAYSIA TURUNKAN NAJIB DAN SELAMATKAN PAS TURUNKAN HADI

    ReplyDelete