Pakatan Harapan Letak Calon Di Semua 82 Kerusi DUN Sarawak

Pakatan Harapan hari ini berikrar memastikan, semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan dalam pilihan raya negeri Sarawak, termasuk kubu kuat Barisan Nasional seperti DUN Tanjung Datu yang dipegang Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Calon PKR bagi kerusi Tanjung Datu ialah Jajolkipli Numan, 51.

Tetapi, beliau tidak hadir pada majlis pelancaran pusat operasi pilihan raya zon selatan PKR hari ini, di mana pengumuman dibuat mengenai nama 22 calon yang disahkan.

Adenan merupakan penyandang kerusi itu sejak 2006.

Pada pilihan raya negeri lepas, Adenan menang dalam pertandingan 3 penjuru menewaskan Nani Shari dari PAS dan Gilbert Asson Kulong (Bebas) dengan 3,000 undi majoriti. Kedua-duanya hilang wang pertaruhan.

"Kami akan memastikan tidak ada tempat (semua 82 kerusi) akan menang tanpa bertanding," kata Pengerusi PKR negeri Baru Bian kepada pemberita selepas upacara pelancaran pusat operasi itu.

Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang sebelum ini ditahan sebentar pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching tetapi kemudiannya dibenarkan masuk selepas pegawai tersebut mengesahkan statusnya.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang tiba semalam bagi melancarkan semua pusat operasi negeri itu, dibenarkan masuk tanpa sebarang sekatan ke negeri itu.

PKR setakat ini mengumumkan 35 nama semasa pelancaran tiga pusat operasi di seluruh Sarawak, sebelum mengadakan perjanjian berhubung pengagihan kerusi dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Baru mengakui beberapa kerusi yang diumumkan hari ini masih menjadi pertikaian dan akan dirundingkan sesama rakan Pakatan Harapan pada satu mesyuarat pertengahan bulan depan.

"Kami sudah menyelesaikan 80% daripada kerusi dan hanya 20% daripadanya masih dipertikaikan. Kami bersetuju untuk tidak mendedahkan kerusi ini (yang mempunyai tuntutan bertindih).

"Kami akan merundingkan perkara ini di peringkat tempatan di kalangan pemimpin Sarawak, tanpa melibatkan kepimpinan pusat melainkan jika perlu," kata Baru kepada pemberita.

DAP berkata, mereka menyasarkan 35 hingga 40 kerusi, manakala Amanah menyasarkan enam hingga 11 kerusi, dan banyak daripada kerusi itu bertindih dengan PKR, seperti Batu Kitang, Tupong, Bengoh dan Tasik Biru.

Terdapat juga beberapa kerusi yang masih kosong tanpa calon berpotensi mengisinya seperti Bekenu dan Belaga.

Dalam pilihan raya negeri 2011, PKR memenangi 3 daripada 49 kerusi, DAP memenangi 12 daripada 15 kerusi, manakala PAS kalah semua 5 kerusi.

Pakatan pembangkang bertanding 69 kerusi manakala SNAP yang kini tidak lagi berfungsi bertanding di 26 kerusi. Parti Cinta Malaysia bertanding di 6 kerusi dan beberapa calon Bebas bertanding di 41 kerusi.

Keadaan itu membuatkan BN berdepan saingan di setiap satu kawasan DUN untuk pertama kalinya, walaupun ramai di antara pesaing itu yang hilang wang pertaruhan. -TMI
Share on Google Plus

About Green Boc

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments:

Post a Comment