Demi Rakyat & Negara, Najib Perlu Saman WSJ Atau Letak Jawatan!


1. Semalam 18 Feb 2016, pengarang kewangan WSJ, Ken Brown dalam wawancara bersama ABC News Australia berkata wang derma RM2.6 bilion itu bukan daripada keluarga Diraja Arab Saudi. Sebaliknya, sumbernya datang daripada pelbagai syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Brown turut membayangkan lebih banyak maklumat akan diketahui umum apabila pihak berkuasa luar negara melanjutkan siasatan mereka dalam beberapa bulan akan datang. Ini adalah tuduhan WSJ buat kali kedua.

2. Untuk ingatan semua, pada tarikh malang 26 Jan 2016, Peguam Negara membebaskan Najib dari apa jua kesalahan tentang derma RM2.6b dan RM42juta dari SRC International kerana ‘tidak dapat bukti yang cukup’. Najib bercita-cita untuk menutup kes derma ini dan menyuruh negara ‘move on’. Memang tidak ada sesiapa pun yang sanggup untuk mempercayai keputusan Apandi (termasuk sebahagian orang Umno sendiri). Keputusan Apandi ini telah menjadi lawak jenaka antarabangsa! Kini pelbagai maklumat akan terdedah, hari demi hari untuk melengkapkan ‘bukti yang tidak cukup’ itu.

 3. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahukan semakan semula keputusan Peguam Negara yang menutup siasatan terhadap derma RM2.6 bilion melalui pembentangan kepada Panel Penilaian Operasi (PPO). PPO merupakan satu badan bebas dibentuk kerajaan bagi memantau perjalanan SPRM mengikut Akta SPRM 2009. Pelbagai dakwaan ke atas Najib yang dikemukakan pihak SPRM tidak dilayani Apandi. Apandi, contohnya, patut perjelaskan mengapa Bank Negara Malaysia mengenakan penalti RM53.7 juta ke atas AmBank bersabit urusniaga bersabitan akaun Najib Razak. Apakah salah mereka? Najib dikatakan tidak tahu menahu tentang perpindahan itu tetapi menggunakan dana itu dengan kredit kadnya? Juga, di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 1961 menyebut menerima dana atau wang oleh penjawat awam dianggap rasuah. Bagaimana pula tidak cukup bukti? Pelbagai lagi….

4. Menyingkap kembali, pada Julai 2015 WSJ telah mendedahkan tentang derma RM2.6 bilion dan RM42 juta dari SRC International dalam akaun peribadi. Dua kali perpindahan: US$620 juta dan US$61 juta pada bulan Mac 2013, dari sebuah syarikat kewangan Tanore Finance, berdaftar di British Virgin Islands sebelum PRU ke-13. Dana itu dipindahkan ke Swiss bank (Falcon Private Bank di Singapura) dimiliki oleh International Petroleum Investment Co (IPIC) iaitu sebuah dana Abu Dhabi, kepada akaun AmIslamic Bank cawangan di Kuala Lumpur milik PM Najib. Najib yang kononnya mengarahkan peguamnya menghantar surat tuntutan saman kepada WSJ, namun surat tersebut akhirnya dihantar sebagai surat mengesahkan laporan berkenaan semata-mata. Begitu juga perihal ‘money trail’ dana RM42 juta dari SRC International.

5. Pada 6 Feb lalu, seorang Menteri Saudi tegaskan dana yang diberikan itu bukanlah derma tetapi pelaburan. Berikutnya, pada 11 Feb, sebuah badan penyelidik antarabangsa BMR Research, milik Fitch Group iaitu sebuah badan penarafan antarabangsa, membuat pernyataan bahawa pelabur dan pengurus dana antarabangsa tidak berani untuk melabur di Malaysia selagi tidak selesai masalah ini kerana takut terpalit dalam urusniaga yang dipersepsi sarat dengan amalan rasuah.

6. Pada 27 Jan, seluruh media antarabangsa seperti Wall Street Journal dan New York Times (USA), Independent dan Guardian (UK), Bloomberg, BBC, CNBC dan lain-lain memberi laporan negatif tentang keputusan Apandi, dan siasatan Switzerland, Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat keatas pelbagai kesalahan urusniaga 1MDB khasnya melanggari undang-undang antarabangsa AMLA dan Exchange Control Act.

7. Tuduhan Ken Brown adalah sangat berat dan meruntuhkan segala kredibiliti dan maruah negara yang telah sedia tercalar.

8. Sehingga kini, pemimpin tertinggi negara itu belum mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap WSJ sejak tuduhan yang pertama dahulu.

9. Rakyat di negara menuntut supaya PM Najib Razak saman segera WSJ, kalau benar mereka membuat tuduhan palsu untuk kali kedua ini!

10. Tuduhan WSJ adalah sangat berat buat negara Malaysia yang berdaulat ini sekaligus menghancurkan nama baik, integriti dan maruah negara ini! Kesan dan kemudaratan bukan kepalang buat negara.

11. Seandainya Najib tidak mahu menyaman WSJ, maka seluruh rakyat menuntut PM Najib Razak, demi masa depan negara dan kesejahteraan rakyat, supaya segera meletakkan jawatannya selaku PM dan Menteri Kewangan.

Dr Dzulkefly Ahmad 
Pengarah Strategi Parti Amanah Negara
Share on Google Plus

About Green Boc

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments:

Post a Comment