Salahuddin Pelawa Mukhriz Sertai AMANAH & Katanya Laporan BNM Ada Kebenarannya

Parti Amanah Negara (AMANAH) sedia menawarkan tempat kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir jika bekas Menteri Besar Kedah itu berhasrat untuk menyertai parti serpihan PAS tersebut.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya sedia untuk membuka pintu perbincangan jika Mukhriz berminat dan bersedia menyertai parti itu.

“Kita akan lihat perkembangan dulu, dia pun ada maruah. Lagipun, pintu perbincangan kita masih dibuka kalau dia (Mukhriz) hendak berjumpa,” ujarnya sewaktu ditemui pemberita di Bangunan Tabung Haji, hari ini.

Mengulas lanjut, Salahuddin turut menyifatkan tindakan UMNO Kedah menjatuhkan Mukhriz sebagai tindakan yang tidak demokratik.

“Saya rasa itu satu proses yang tidak demokratik yang kita rasakan mereka telah buat di Terengganu, Perak dan kini Kedah pula.

“Mereka sudah banyak kali buat keputusan dibuat di luar Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini tidak demokrasi,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, penyingkiran Mukhriz itu juga disifatkan suatu langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membuktikan beliau lebih berkuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dari segi politiknya, langkah Najib ini untuk tunjuk kepada Dr Mahathir bahawa dia berkuasa,” katanya lagi.

Semenatar itu Salahuddin di dalam satu kenyataan akhbarnya menyatakan bahawa parti AMANAH memandang serius laporan bahawa Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan amaran kepada Lembaga Tabung Haji berhubung rizab agensi itu yang berada pada paras negatif.

Menurutnya, laporan yang merujuk surat Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz itu juga turut menyebut bahawa Lembaga Tabung Haji juga tidak akan dapat membayar dividen kepada 8.8 juta pencarum jika tidak mengambil tindakan menyelesaikan masalah ini.

Laporan tersebut telah menimbulkan keresahan di kalangan rakyat khususnya para pencarum berkenaan kedudukan simpanan mereka.

Ia juga menimbulkan banyak persoalan di kalangan rakyat berhubung keberkesanan Lembaga Tabung Haji untuk membantu umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah haji yang dikhuatiri terjejas.

Lebih membimbangkan apabila Tan Sri Zeti berpendapat Lembaga Tabung Haji mungkin terpaksa melupuskan aset pelaburannya pada skala besar dan masa yang singkat untuk memenuhi tanggungjawab kepada pendeposit.

Lembaga Tabung Haji sebelum ini juga dikaitkan dengan syarikat pelaburan bermasalah, 1Malaysia Development (1MDB) apabila membeli tanah 0.64 ha di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga RM188 juta, iaitu 43 kali ganda lebih tinggi daripada yang dibeli 1MDB daripada Putrajaya 5 tahun lalu.

Dengan segala perkembangan yang berlaku itu, Parti AMANAH, menurut Salahuddin, berpendapat bahawa, semua rakyat perlu mendapat penjelasan daripada Lembaga Tabung Haji.

Untuk itu, mewakili AMANAH, beliau telah menghantar surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Dato’ Seri Jamil Khir Baharom untuk diadakan satu pertemuan bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara tersebut.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments:

Post a Comment